Kenderaan rempuh gerai, penjual burger maut, sembilan cedera

Kenderaan pacuan empat roda rempuh gerai, penjual burger maut, sembilan cedera

KEADAAN gerai burger yang dirempuh Toyota Hilux menyebabkan seorang maut dan sembilan mangsa cedera di Kilometer 342 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bahru, berdekatan Kampung Sungai Pasu di Raub, Pahang. - FOTO /IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang lelaki maut dan sembilan mangsa termasuk kanak-kanak berusia lapan bulan cedera akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 342 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bharu, berdekatan Kampung Sungai Pasu di sini. 

Kejadian pukul 11 malam semalam melibatkan lima buah kenderaan berpunca sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux merempuh sebuah gerai yang menjual burger, kemudiannya melanggar empat buah kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki datang dari arah Bandar Raub menghala ke Kuala Lipis.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah gerai burger, beberapa orang pelanggan serta empat buah kenderaan yang diparkir di bahu jalan berhampiran gerai tersebut.

‘Akibat rempuhan tersebut, mangsa seorang penjual burger, Mohamad Ariff Anuar Khan berusia 32 tahun disahkan oleh petugas perubatan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shahril, mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik untuk tujuan bedah siasat, manakala sembilan mangsa lain termasuk isteri dan anak si mati telah mengalami cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Raub untuk rawatan selanjutnya.

Katanya, pemandu serta penumpang Toyota Hilux yang tidak mengalami kecederaan dan ditahan di Lokap Balai Polis Raub untuk siasatan lanjut.

“Ketika kejadian keadaan jalan gelap, tiada lampu jalan dan permukaan jalan basah. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333 & 334) pindaan 2020,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN