PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak masuk campur dalam pergeseran yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Perdana Menteri berkata, kemelut politik dan perpecahan dalam kalangan parti politik yang terjadi pada waktu ini bukan juga dalam tanggungjawab kerajaan.
Menurutnya, tumpuan utama pentadbiran pada masa kini adalah untuk menumpukan kestabilan negara, pemulihan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat.
“Yang penting sekarang, kerajaan perpaduan masih utuh dan semua telah memberikan ikrar masing-masing untuk menumpukan perhatian kepada urusan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat sehingga pilihan raya akan datang.
“Soal orang ada keinginan atau kecenderungan masing-masing, soal berpecah atau bercerai-berai, itu bukan masalah saya dan bukan masalah kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, di sini hari ini.
Mengulas lanjut tentang kewujudan Muafakat Nasional (MN), Anwar berkata, kerajaan akan kekal melaksanakan amanah rakyat tanpa terkesan dengan isu peribadi atau pendirian individu tertentu.
“Kerajaan akan terus bekerja dan melaksanakan tugas. Perkara lain itu adalah urusan mereka, kerajaan tidak akan mencampuri urusan dalaman parti kerana fokus kekal kepada tadbir urus ekonomi negara dan kepentingan rakyat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Pas menyambut baik cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk mewujudkan semula MN jika UMNO mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau sangat setuju dengan cadangan menghidupkan semula MN yang dilontarkan Muhamad Akmal. – UTUSAN










