KUALA TERENGGANU: Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin akan memfailkan saman sebanyak RM15 juta terhadap seorang individu yang didakwanya menyebarkan fitnah mencemarkan imej beliau dan menjejaskan reputasi perniagaannya.
Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn. Bhd. itu berkata, beliau mempunyai banyak bukti sebaran fitnah yang dilakukan individu tersebut terhadap dirinya melalui laman sosial Facebook sejak tahun lalu.
Katanya, individu tersebut membuat pelbagai tuduhan kononnya beliau menipu ramai orang dalam urusan jual beli tanah selama ini.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak pernah ada urusan dengan individu itu dan hairan mengapa dia begitu agresif menyerang dan memfitnah saya dengan pelbagai tuduhan di Facebook.
“Individu itu turut menghasut pembeli hartanah agar tidak meneruskan urusan dengan saya kerana menuduh saya menipu dan tidak jujur malah bertindak seperti hero untuk menyelamatkan pembeli,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Azlan berkata, individu itu juga dipercayai menyebarkan maklumat sulit pelanggan syarikat serta memberi suapan kepada bekas pekerjanya untuk mendapatkan maklumat itu.
Selain itu, Azlan berkata, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut pada Sabtu lalu kerana menerima ugutan daripada individu tersebut.
“Saya menyedari perbuatan individu tersebut melalui laman sosial Facebook pada 3 dan 7 Oktober lalu. Salah satu status yang dimuat naik individu tersebut seolah-olah mengancam keselamatan saya iaitu ‘anda sedang diperhatikan’.
“Saya dinasihatkan oleh peguam untuk membuat laporan polis ini bagi melindungi keselamatan diri saya dan selepas itu akan diteruskan pula dengan saman RM15 juta pula kerana menyebarkan fitnah,” katanya.
Pada Ogos lalu, Azlan mengambil keputusan untuk menyelesaikan isu beliau difitnah oleh seorang individu dari Tumpat, Kelantan secara baik tanpa melibatkan tuntutan mahkamah.
Beliau telah membatalkan hasratnya memfailkan tuntutan saman fitnah sebanyak RM7 juta terhadap individu tersebut setelah menerima permohonan maaf.
Nama Muhammad Azlan mula dikenali rakyat Malaysia selepas tular kerana bangkit menjadi jutawan menerusi perniagaan hartanah walaupun asalnya beliau hanya bekerja sebagai pengutip sampah.
Beliau mengabadikan kisah hidupnya menerusi buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ dan sejak itu terus tular dengan beberapa kisah menolong orang ramai termasuk membawa golongan miskin menaiki helikopter untuk bersiar-siar di sekitar Besut. – UTUSAN