Jemaah umrah meninggal dunia dalam pesawat - Utusan Malaysia

Jemaah umrah meninggal dunia dalam pesawat

ADNAN Mamat meninggal dunia dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang dari Arab Saudi ke tanah air, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang jemaah umrah dari Kampung Mak Chili dekat sini meninggal dunia dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang mengerjakan umrah dari Arab Saudi, hari ini.

Adnan Mamat, 55, yang merupakan bekas pekerja syarikat minyak dan gas difahamkan meninggal dunia selepas mengadu tidak sihat kepada ahli keluarganya.

Anak sulungnya, Nurfatihah Adnan, 23, berkata, dia menerima berita duka itu kira-kira pukul 11 pagi, selepas dihubungi ibunya, Wan Nafisah Wan Abd. Rahman, 45, yang bersama arwah bapanya mengerjakan umrah yang turut disertai tiga lagi saudara mereka.

“Saya tak pasti ayah meninggal pukul berapa. Namun, ibu beritahu, ayah meninggal dunia dengan tenang dan sempat mengucap kalimah syahadah sebelum dia menutup mata dan menghembuskan nafas terakhirnya.

“Kemudian, ahli keluarga yang lain memberitahu kru pesawat sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Nurfatihah berkata, pesawat Saudia tersebut kini mendarat di India dan proses dokumentasi sedang dilakukan.

“Saya dan beberapa ahli keluarga yang lain sempat melihat wajah ayah menerusi panggilan video yang dibuat ibu tengah hari tadi.

“Sekarang ini, kami masih tidak pasti sama ada jenazah ayah akan terus dibawa pulang hari ini ke tanah air ataupun esok kerana semuanya masih diuruskan di sana. Tapi, kami harap semuanya dipermudahkan supaya urusan pengebumian jenazah dapat dipercepatkan,” katanya.

Anak sulung daripada lima adik beradik ini berkata, bapanya turut mengadu tidak sihat dan demam beberapa hari lalu.

“Saya tak sangka arwah pergi begitu cepat sebab saya dan adik-adik memang menunggu kepulangan ayah dan ibu,” katanya yang redha dengan ujian tersebut.

Menurutnya, arwah bapa dan ibunya serta tiga saudara lain bertolak dari tanah air ke Tanah Suci pada 20 September lalu dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya