Jemaah Masjid An-Nur, khatam al-Quran selepas empat tahun

Jemaah Masjid An-Nur, khatam al-Quran selepas empat tahun

Sebahagian jemaah Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor yang khatam al-Quran, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seramai kira-kira 40 jemaah Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini mengadakan majlis khatam al-Quran selepas empat tahun istiqamah membacanya setiap kali usai solat subuh.

Tempoh empat tahun ini termasuk semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan ekoran pandemik Covid-19 iaitu sejak tahun 2019.  

Nazir MAN, Hamzah Md. Amin berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat menganjurkan program tersebut sebagai memberi semangat dan galakan untuk anak-anak kariah mendekatkan diri dengan al-Quran.

Roti canai antara menu disediakan untuk sarapan pagi di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini.

Katanya, sejak tahun 2019, MAN mengadakan majlis membaca al-Quran sebanyak satu muka surat sehari beserta terjemahan yang dipimpin oleh imam bertugas selepas solat fardu Subuh.

“Setiap kali selepas Subuh, imam akan membaca dan diikuti oleh para jemaah. Semasa itu juga, imam akan membetulkan hukum tajwid yang berkaitan agar para jemaah dapat sama-sama meningkatkan mutu bacaan masing-masing.

“Alhamdulillah, walaupun mengambil masa yang agak lama, hari ini kita dapat bersama-sama mengadakan majlis khatam al-Quran. Ini adalah program selain tadarus yang biasa kita adakan sepanjang Ramadan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Majlis itu juga diadakan bertepatan dengan amalan berhimpun ketika majlis khatam al-Quran adalah disunatkan oleh para ulama iaitu dengan menghimpunkan ahli keluarga atau sahabat-handai ketika majlis tersebut. 

Ini berdasarkan kepada athar para salaf terdahulu. Antaranya, athar daripada Anas bin Malik r.a yang bermaksud: Adapun Anas apabila beliau mengkhatamkan al-Quran, beliau akan menghimpunkan anaknya serta ahli keluarganya lalu berdoa bersama mereka. (Riwayat al-Darimi)

Sebahagian jemaah menikmati sarapan pagi di Masjid An-Nur, hari ini.

Majlis dipimpin oleh Imam 2, Mohd. Radzi Mohd. Zin manakala Imam I, Mohd. Isyamfuan Rojalai mengetuai bacaan doa.

Antara petugas yang membantu menyediakan buah melaka dalam sarapan pagi.

Sempena majlis itu, MAN turut menyediakan sarapan pagi iaitu pulut kuning dan rendang ayam, kuih-muih dan roti canai serta buah melaka yang dibuat secara ‘live’ oleh Cef Radzi dan Cef Azhar Sani. Mereka dibantu oleh beberapa jemaah yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya