Isu buka semula pawagam 'sangat positif' - Ahmad Yakob

Isu buka semula pawagam ‘sangat positif’ – Ahmad Yakob

AHMAD Yakob menyampaikan sumbangan kepada artis veteran, Mek Habsah pada Majlis Malam Selebriti dan Anak Seni Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan usaha untuk membuka semula panggung wayang gambar (pawagam) di negeri itu ‘sangat positif’.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri masih meneliti cadangan berkenaan, malah ia sentiasa dibincangkan di pelbagai peringkat.

“Kita tahu kita tidak boleh menghalang fitrah (untuk berhibur) namun, ia mestilah mengikut kesederhanaan seperti ajaran Islam,” katanya ketika ditemui pada majlis Malam Selebriti dan Anak Seni bersama pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan, malam tadi.

Isu pembukaan panggung wayang di Kelantan kembali diperkatakan baru-baru ini susulan sambutan luar biasa di seluruh negara terhadap filem Mat Kilau.

Ketiadaan panggung wayang di negeri itu menyebabkan rakyat Kelantan terpaksa ke Terengganu atau ke Lembah Klang untuk menonton filem pecah panggung itu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pihaknya juga bersedia untuk meneliti segala input dan pandangan baharu berhubung seni dan budaya asal Kelantan termasuk tarian Mak Yong Menora dan Main Puteri.

Menurutnya, pandangan baharu itu penting bagi memastikan seni dan budaya Kelantan dapat diteruskan dan kekal terpelihara.

“Selain input daripada pihak penggiat seni dan industri, kita juga akan turut mengambil pandangan daripada ulama dan Jabatan Mufti Negeri sekiranya ia berkaitan dengan isu keagamaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri sejak zaman pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah menolak seni dan budaya.

“Seni dan hiburan sebahagian daripada kehidupan dan manusia dalam hidup memerlukan hiburan.

“Apa yang dibuat Tok Guru bila dilantik Menteri Besar, beliau tidak menghalang hiburan sebaliknya memurnikannya demi memenuhi kehendak agama,” katanya pada sesi dialog bersama selebriti asal Kelantan pada program sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya