PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya meningkatkan hasil jualan 221 usahawan melalui tiga program bimbingannya.
Tiga program itu ialah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, hasil jualan meningkat sebanyak RM3.1 juta selain 54 peratus peserta berjaya mencapai sasaran program yang ditetapkan.

“Hasil jualan meningkat minimum sebanyak 20 peratus melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi ini yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Pecahan peningkatan hasil jualan ini terbahagi kepada tiga iaitu, RM2.5 Juta daripada 78 peserta Program IBBC, RM246,000 daripada 84 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM318,000 daripada 59 usahawan yang menyertai Program Bimbingan Keuntungan Menu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Muhd Firdaus, peningkatan hasil jualan ini dapat dilihat kerana setiap usahawan yang menyertai program bimbingan INSKEN diwajibkan untuk memasukkan rekod hasil jualan mereka setiap bulan melalui Aplikasi IPro.
“Melalui bimbingan yang diberikan serta rekod hasil jualan ini juga telah membantu 18 usahawan bertukar status daripada kategori mikro kepada kategori perusahaan kecil,” katanya.
Selain itu katanya, 58 usahawan telah menambah SKU baharu selepas mengikuti Program Bimbingan Produk dan 25 usahawan daripada Program Bimbingan Keuntungan Menu telah meningkatkan penggunaan medium penghantaran makanan.
Sementara itu katanya, 41 pekerjaan baharu dicipta melalui Program IBBC yang sekaligus dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran di kalangan masyarakat negara ini.
Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan, 221 usahawan telah mengikuti lapan program bimbingan INSKEN dan lima daripadanya adalah melalui hasil kolaborasi bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). – UTUSAN










