SEREMBAN: Pemberian peranti komputer kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini secara percuma perlu dijadikan program kekal oleh kerajaan setiap tahun, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan itu berkata, penggunaan peranti itu adalah satu keperluan dan bukan lagi satu kemewahan kerana mahasiswa perlu mendapatkan maklumat dan menyiapkan tugasan sepanjang pengajian mereka.
Katanya, kemudahan peranti itu mampu meningkatkan produktiviti para mahasiswa dan mudah untuk mereka melaksanakan tugasan dengan lebih baik.
“Jangan anggap wang yang dibelanjakan untuk menyediakan kemudahan ini sebagai perbelanjaan sebaliknya ia adalah satu pelaburan.
“Kalau ada aspirasi untuk menjadi sebuah negara digital, saya percaya bantuan seperti ini mesti jadi program kekal,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban, di sini hari ini.
Yang turut hadir Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Professor Dr. Yamin Yassin. Seramai 1,687 mahasiswa UiTM di tiga kampus universiti itu di negeri ini menerima bantuan peranti berkenaan.
Sehingga kini, lebih 66,000 unit peranti komputer itu telah diagihkan daripada lebih 300,000 permohonan yang diterima kerajaan.
Khairy secara peribadi dalam pada itu, memberitahu, beliau sendiri akan mengusulkan kepada kerajaan supaya program pemberian peranti itu dibuat secara berterusan jika terpilih sebagai anggota Kabinet selepas pilihan raya umum tidak lama lagi.
Malah, katanya, pemberian itu patut diperluaskan dan bukan sekadar kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) semata-mata. – UTUSAN










