Gred telur biasa dilabel ‘premium’

Gred telur biasa dilabel ‘premium’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika situa­si bekalan telur masih kritikal, timbul pula masalah lain selepas beberapa pemborong didakwa berkonspirasi menukar label telur gred biasa kepada telur premium untuk meraih keuntungan berganda.

Tindakan itu bukan sahaja menipu pengguna tetapi mengakibatkan harga telur sema­kin mahal sehingga menyukarkan orang ramai khususnya yang kurang berkemampuan mendapatkan sumber protein penting itu.

Sumber industri mendedahkan, terdapat pemborong enggan menjual telur gred A, B dan C kepada peruncit dan pengguna, sebaliknya menggunakan dua modus operandi berbeza bagi mengeksploitasi keadaan semasa yang kekurangan bekalan telur.

Antara modus operandi pemborong adalah mengurangkan kuantiti telur dalam sepapan, yang sebelum ini datang dalam bentuk 30 biji kepada kuantiti lebih kecil dengan harga lebih tinggi.

Modus operandi kedua pula, dedah sumber, pemborong menukar gred telur sesuka hati dengan melabelkan telur biasa sebagai telur premium.

“Sekarang ini telur yang ke­luar dari ladang, sangat kurang. Di peringkat pemborong pula, mereka sudah tak jual telur biasa gred A, B dan C seperti sebelum ini. Sebaliknya sekarang, mereka jual dalam bungkusan berlainan.

“Satu, dijual dalam bentuk 10 biji, enam biji yang mana dari segi kuantiti ia dipecah-pecahkan. Kedua, mereka menjenamakan semula telur-telur yang biasa ini. Bukan lagi seperti sebelum ini, ikut gred A, B dan C, tapi kali ini mereka jenamakan sebagai telur premium,” kata sumber di sini, semalam.

Sumber berkata, tindakan ini dipercayai bertujuan menge­lakkan pemain-pemain industri daripada terikat dengan skim kawalan harga kerajaan.

Perkara ini jadi lebih mudah kerana negara memang berdepan kekurangan bekalan telur yang sangat kritikal dan mudah untuk pemain industri menangguk di air keruh kerana kerajaan sukar bertindak apa-apa terhadap mereka.

“Kenapa ini berlaku, supaya mereka boleh letak harga baharu telur yang di luar daripada kawalan harga ditetapkan kerajaan. Mereka meletakkan label ‘premium’ kepada telur-telur biasa, sedangkan tiada badan pun yang mengakreditasikan telur-telur itu sebagai premium atau biasa.

“Maknanya, kebanyakan pem­­borong mula jual cara itu. Sebab itu kalau kita tengok di pasaran sekarang, sangat kurang telur-telur A, B dan C. Sebaliknya yang banyak dijual sekarang adalah telur-telur ‘premium’,” kata sumber.

Pada 3 Oktober lalu, akhbar ini mendedahkan negara dijang­ka berdepan krisis telur ayam menjelang bulan November dan Disember nanti berikutan bekalan semasa sumber protein itu kini menyusut antara 20 hingga 25 peratus daripada ke­perluan 30 juta biji sehari sejak dua bulan lalu.

Berdasarkan maklumat pemain gergasi industri pengeluaran telur, jika tidak ditangani segera, kekurangan bekalan boleh mencecah sehingga 40 peratus menjelang perayaan Krismas, Disember ini.

Pengguna akan sukar mendapatkan bekalan sekali gus meningkat harga semua produk yang bergantung kepada telur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×