Galak pelajar hasilkan karya sendiri - Utusan Malaysia

Galak pelajar hasilkan karya sendiri

SAKRI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) memperkenal program Bengkel Penulisan Cilik bagi menggalakkan pelajar sekolah menghasilkan karya sendiri pada usia muda.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah berkata, menghasilkan karya sendiri adalah sesuatu yang baharu memandangkan budaya membaca sudah diamalkan sejak bertahun-tahun lalu, seperti membaca di dalam kereta api atau semasa dalam perhimpunan.

“Kebiasaannya pelajar dari usia muda hanya digalakkan supaya membaca, namun sebab mereka harus membaca dan perkara yang boleh dilakukan hasil daripada pembacaan tersebut tidak dititikberatkan.

“Oleh itu, ITBM menggunakan kaedah yang berbeza, iaitu pelajar bukan sahaja digalakkan membaca bahan orang lain, tetapi turut menghasilkan karya sendiri yang akan diterbitkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.

Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan, dan antara pengisian program ialah Bengkel Penulisan Cerpen atau dikenali sebagai Penulis Cilik.

Bengkel itu melibatkan pe­nyer­taan 20 guru pembim­bing dan 60 pelajar sekolah rendah, iaitu tahun lima dan tahun enam yang dipilih dari setiap negeri di seluruh Malaysia untuk dibimbing bagi menghasilkan cerpen. Cerpen terbaik hasil tulisan pelajar akan dibukukan dalam sebuah antologi.

Setiap negeri akan me­ngadakan bengkel tersebut sehingga lengkap 16 judul buku antologi yang mewakili 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Menurut Sakri, Penulis Cilik tercetus berdasarkan idea pihak kerajaan untuk memartabat dan mengantarabangsakan bahasa Melayu serta mengangkatnya sebagai bahasa kedua ASEAN.

“ITBM mengambil inisiatif untuk memperkasa bahasa Melayu lebih awal dengan memulakannya pada peringkat pelajar sekolah rendah dengan menggalakkan mereka untuk menghasilkan cerpen sendiri.

“Penghasilan cerpen ini bertemakan aspek lokaliti dengan memaparkan keistimewaan yang terdapat di negeri masing-masing seperti seni budaya, warisan, seni bina, alam dan rekreasi, masakan atau makanan warisan serta cerita lipur rakyat.

“Pada masa yang sama bagi mewujudkan konsep silang budaya tempatan, tentu sekali bukan sahaja bagi pelajar, bahkan semua rakyat Malaysia.

“Hal demikian kerana apabila disebut silang budaya, rakyat biasanya membandingkan budaya Malaysia dengan budaya antarabangsa, tetapi kita juga mempunyai perbezaan budaya, misalnya antara Kelantan de­ngan Putrajaya,” katanya.

Sakri berkata, penghasilan cerpen itu merupakan satu ka­edah bagi menyerlahkan keunikan setiap negeri serta mewujudkan perpaduan yang baik dengan saling memahami antara satu sama lain.

“Karya yang dihasilkan pelajar tersebut akan menjadi hak milik mereka apabila nama ma­sing-masing diletakkan di bawah tajuk cerpen yang dihasilkan oleh mereka itu. Malah, mereka dapat memegang buku ini sepanjang hidup sebagai peringatan mereka pernah menjadi seorang penulis.

“Yang pasti, penghasilan cerpen ini tidak dibenarkan adanya campur tangan guru pembim­bing kerana kami mementingkan keaslian cerpen pelajar itu sendiri dan plagiat tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Sakri berpendapat, penerbitan buku itu akan memberikan manfaat kepada industri perbukuan negara dengan koleksi perpustakaan berbahasa Me­layu yang bertemakan lokaliti negeri dan juga manfaat kepada pelajar di seluruh Malaysia untuk mengenali dan mendalami budaya setiap negeri.

“Kami menyasarkan 8,000 naskhah bagi setiap judul di­cetak dan diedarkan ke sekolah di seluruh Malaysia dengan setiap sekolah harus mempunyai sekurang-kurangnya lima set.

“Pada masa akan datang, kami akan menerbitkannya dalam bentuk e-book bagi memudahkan orang ramai meng­akses, tetapi buat masa sekarang masih dalam bentuk fizikal.

“Bengkel bagi 16 buah buku dijangka siap dalam tiga hingga enam bulan, dan menjelang April 2023 kesemuanya dapat diedarkan ke seluruh negara.

“Bengkel pertama sebagai perintis projek ini diadakan di Kelantan pada Ogos lalu, dan hasilnya ialah buku yang menghimpunkan 31 cerpen karya penulis cilik Kelantan berjudul Cerpen Penulis Cilik Semanis Jala Mas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.