GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli menyifatkan kejadian gajah mendaki bukit di kawasan Simpang Kuala Betis-Lojing di sini sebagaimana yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.
Seorang penduduk Orang Asli, Pelinejon Assut, 38, mengikut kepercayaan orang tua zaman dahulu, mereka menjadikan ‘haiwan’ sebagai rujukan salah satu ‘pedoman’ dalam menjalani kehidupan seharian.
“Selain habitat ditanggu atau keluar mencari makanan, kami tidak menolak kemungkinan kumpulan gajah itu seolah-olah mahu memberi amaran akan berlaku kejadian luar biasa selepas ini.
“Oleh yang demikian kami jadikan kejadian itu sebagai pedoman dan sudah membuat persiapan untuk berdepan musim tengkujuh tidak lama lagi, “ katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan gajah-gajah yang dipercayai berkeliaran di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang.
Video yang berdurasi 18 saat ini turut merakam tindakan sesetengah pemandu yang berhenti di tepi jalan untuk melihat sendiri gajah-gajah ini yang berada di atas bukit.
Rakaman itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mahu penduduk sentiasa berwaspada dengan perkara tersebut dan ada juga menitipkan doa semoga semuanya selamat.
Sementara itu usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan apabila gagal.-UTUSAN










