ALOR SETAR: Sebanyak empat bungkusan plastik dengan dua daripadanya berisi cat berwarna biru dan dua lagi cat merah ditemukan berhampiran pagar kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Jalan Anak Bukit, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu disedari staf kediaman tersebut pada pukul 9.55 pagi sebelum dimaklumkan kepada Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, lima minit kemudian.
“Ketika pengawal datang bertugas kira-kira pukul 7 pagi, kejadian itu dipercayai belum berlaku. Sebaik sahaja menyedarinya kira-kira pukul 9.55 pagi, pengawal terus membuat laporan kepada bilik gerakan IPD.
“Ketika ini kami sedang giat mengesan suspek terlibat. Di kawasan kediaman tiada kamera litar tertutup (CCTV) namun kami akan mendapatkan rakaman tersebut daripada premis mahupun lampu isyarat terdekat untuk mengesan suspek,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, cat tersebut turut terkena pintu pagar yang baru digantikan di kediaman itu serta pokok hiasan dan lampu limpah yang dihalakan kepada tembok berkenaan.

Difahamkan, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi ketika kejadian itu berlaku.
Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, tiada kerosakan serius dilaporkan berlaku dalam kejadian terbabit.
“Saya berharap tiada pihak yang membuat spekulasi mengenai kejadian ini hingga memburukkan keadaan apatah lagi menjelang kehadiran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya. – UTUSAN