RM11 bilion perkukuh pertahanan negara

RM11 bilion perkukuh pertahanan negara

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustech, Sharifuddin Md. Zaini Al-Manaf mengenai kerjasama strategik program komunikasi ATM di Langkawi semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerajaan mem­be­lanjakan RM11 bilion terma­suk pembelian pelancar Peluru Berpandu Serangan Laut (NSM) untuk memperkukuhkan sistem pertahanan negara sempena Pameran Maritim dan Ae­roangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Aset lain yang turut dibeli adalah dua unit Radar Julat Jauh (LRR) di Bukit Peteri, Terengganu dan Bukit Lunchu, Johor bernilai RM277 juta serta 178 unit Senjata Anti-Kereta Kebal Ringan Boleh Diisi Semula (LATW) – Jarak Dekat bernilai RM49 juta.

Turut ditawarkan, kontrak membekal dan menghantar 780 butir Senjata Anti-Kereta Kebal Ringan (LAW) C90 bernilai RM35 juta; 18 Mortar 81mm bernilai RM30 juta dan dua set pelancar Peluru Berpandu Serangan Laut (NSM) bernilai RM44 juta.

Lain-lain kontrak yang dime­terai adalah membekal dan menghantar 1,300 butir Peluru 84mm Tidak Berundur Letupan Tinggi (HE) bernilai RM42 juta; 5,000 unit Bom Mortar 60mm Pencerah Inframerah IR (RM34 juta); 1,900 unit Bom Mortar 120mm Letupan Tinggi HE (RM34 juta); 12 juta butir Peluru 5.56mm Jenis Pepejal (RM32 juta) dan 1,000 butir Peluru 125mm HEAT-SD-T (RM31 juta).

Perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Menandatangani dan Serahan Kontrak Perolehan, LOI dan MoU sempena LIMA’25 semalam. Turut hadir Timbalannya, Adly Zahari dan Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar.

Turut ditandatangani adalah kontrak perolehan perkhidmatan pengurusan keusangan KD Perdana bernilai RM48 juta; kontrak program pengekalan pesawat pejuang F/A-18D (RM187 juta); perolehan Stok Apungan Tambahan bagi Enjin TP400-D6 dan Pesawat Turbin Tekanan A400M (RM392 juta) dan kontrak Senggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Helikopter EC725 (RM378 juta).

Jumlah RM11 bilion itu melibatkan 96 perjanjian yang ditandatangani dan diserahkan merangkumi 85 surat setuju terima (SST) atau kontrak, dua surat niat (LOI) dan enam memorandum persefahaman (MoU).

Mohamed Khaled berkata, selain pembelian aset baharu, pemerkasaan ATM turut dilakukan dengan memastikan aset sentiasa dalam keadaan baik melalui peningkatan keupayaan aset sedia ada dan antara dimeterai termasuklah kontrak penyelenggaraan dan pembaikan Kapal Selam Kelas Perdana Menteri bernilai RM1.02 bilion.

Katanya, berbanding LIMA’23, penganjuran tahun ini menyaksikan peningkatan sekitar RM1 bilion yang mana edisi ke-16 itu menyaksikan 43 dokumen ditandatangani Kementerian Pertahanan yang bernilai RM10.1 bilion.

Perolehan-perolehan yang di­buat bermatlamat antaranya untuk meningkatkan kesi­agaan aset di tahap tertinggi bagi memperkukuh kedaulatan wilayah.

“Kedua untuk tingkatkan dorongan terhadap pemba­ngunan industri pertahanan tempatan, menangani ancaman bukan tradisional melalui pengukuhan keselamatan siber negara dan teknologi telekomunikasi serta mengutamakan pembangunan dan penyelidikan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN