Duda mengaku salah raba, curi motosikal kekasih - Utusan Malaysia

Duda mengaku salah raba, curi motosikal kekasih

MOHD. KHAIRIL Rahmat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencabul dan mencuri motosikal kekasihnya. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah mencabul dan mencuri motosikal kekasihnya, seorang duda anak lima dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Khairil Rahmat, 44, mengaku bersalah sejurus selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda kepunyaan kekasihnya dianggarkan bernilai RM3,500 tanpa kerelaan wanita berkenaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didapati mencabul mangsa sama dengan cara meraba keseluruhan badan tanpa kerelaan dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Kedua-dua kesalahan dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah rumah beralamat di Jalan Matahari 8 Fasa 2, Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Jun 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan bagi kedua-dua kesalahan itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara dikenakan dari tarikh ditangkap iaitu 24 Jun 2022 kerana perlu menanggung lima anak dan bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian menjatuhi penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa pada hari kejadian untuk berbincang mengenai hutangnya dengan mangsa berjumlah RM25,000.

Tertuduh kemudian bertindak memegang mangsa dengan meraba di keseluruhan badan wanita itu termasuk dada dan kemaluannya tanpa kerelaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya