BENTONG: Dua orang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) (menghala ke Timur) di sini.
Mangsa yang maut dalam kejadian pukul 1.30 pagi ini ialah dua wanita berusia 52 dan 28 tahun kerana kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan polis mendapati kereta jenis Honda yang ditumpang mangsa yang maut dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun dari arah Kuala Lumpur menghala ke Terengganu.
“Setibanya di tempat kejadian, pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori treler yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang berada di lorong kiri.
“Akibat pelanggaran ini, kereta Honda itu berpusing lalu memasuki lorong sebelah kanan dan pada masa yang sama datang kereta jenis Proton dari belakang tidak sempat brek dan mengelak lalu melanggar kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, dua penumpang dalam kereta Honda yang mempunyai pertalian keluarga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala.
“Mangsa lain yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Bentong untuk rawatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN