KOTA KINABALU: Dua lelaki melecur sebahagian anggota badan akibat terkena renjatan elektrik semasa memasang papan iklan di hadapan KFC Bundusan, Penampang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, dua lelaki yang merupakan pekerja kontraktor pemasangan papan iklan itu cedera di bahagian perut dan kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zenno Tingalan berkata, kedua-dua mangsa yang melecur itu berusia 26 dan 35 tahun.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.23 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati dua mangsa lelaki melecur akibat terkena renjatan elektrik.
“Pasukan Bomba bertindak memberi rawatan awal dan seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth dengan menggunakan Jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 11.50 pagi selepas memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian. –UTUSAN