KUALA PILAH: Dua beranak maut manakala tiga ahli keluarga yang lain cedera apabila mereka terbabit dalam nahas di Jalan Terachi-Tanjung Ipoh, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan mangsa dikenali sebagai Nuratika Arsad, 27, dan seorang anaknya yang sedang dikenal pasti nama. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 11, Norhirwan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.21 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti dan Kuala Pilah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati kemalangan tersebut membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang terbabas.
“Terdapat sebuah keluarga iaitu seramai lima orang mangsa bagaimanapun isteri dan seorang anak telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan.
“Mangsa yang lain berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan dan siasatan lanjut diteruskan oleh pihak polis. –UTUSAN










