‘Dokumen bukan kitab suci’ muncul kembali - Ahmad Zahid

‘Dokumen bukan kitab suci’ muncul kembali – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas hampir lima tahun berlalu terdapat bayang-bayang dokumen manifesto janji-janji pembangkang yang dibuat pada 2018 muncul semula untuk memperdaya rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Malaysia haruslah berhati-hati kali ini dan jangan terlalu mudah dihalusinasi lagi oleh kelicikan dan manipulasi yang amat berbahaya serta memusnahkan itu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, ‘dokumen bukan kitab suci’ muncul sekitar tahun 2018 itu menghasut gelora nafsu manusia lalu memusnahkan kejujuran dan realistik insani. 

“Tentunya semua masih ingat pada dokumen manifesto ini. Dokumen ini sangat licik, manipulatif dan berbahaya. Ia pernah merosakkan rasional manusia. Mereka yang pernah ‘mengimaninya’ terawang-awang dalam halusinasi fantasi sehingga meranap intelek dan logik akal.

“Dokumen bukan kitab suci ini menghasut gelora nafsu manusia lalu memusnahkan kejujuran dan realistik insani. Manusia yang ‘menganutinya’ dijanjikan syurga dunia serta kemewahan tidak masuk akal menyebabkan begitu ramai terpesona lalu dimangsakan.

“Namun, sejarah telah membuktikan bahawa dokumen ini ternyata sarat kepalsuan, pembohongan, penipuan yang memesongkan dengan janji-janji manis,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya semalam.

Hantaran itu dipercayai sebagai reaksi susulan Presiden PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

Ia termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), khusus untuk golongan B40.

Semua cadangan dasar itu dimasukkan dalam ‘SCRIPT-For a Better Malaysia’, buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar untuk mentransformasikan Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dokumen manifesto itu juga umpama bulan dan bintang yang tampak menarik dan mampu digapai dengan mudah, tetapi realitinya sejauh 384,400 kilometer dari bumi.

“Setakat ini tiada siapa berani mengaku mencipta dokumen tipu daya ini, petunjuk paling hampir cumalah individu mengaku menjadi tukang tulis. Hanya yang pasti terdapat gerombolan yang suatu ketika dulu menjadikan dokumen bukan kitab suci ini alat untuk memanfaatkan kepentingan mereka.

“Selepas manfaat telah dikaut, mereka cuba membuat manusia terlupa kewujudan dokumen ini dengan pelbagai penceritaan untuk mengelirukan. Beringatlah kepada kisah seperti Mansuhkan Tol dan PTPTN percuma, Insya-Allah kita akan mengetahui apabila ia telah kembali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.