SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching tidak mengetahui siapakah individu yang dimaksudkan oleh Presiden pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Dr. Zuraida Kamaruddin semalam bahawa terdapat dua ADUN di Negeri Sembilan kini sedang dalam proses menyertai parti itu.
Menurut ADUN dari PKR itu, walaupun sering melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan PKR di Negeri Sembilan namun beliau tetap setia dengan parti itu yang telah memberi ruang kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lalu.
“Saya tidak ada di situ, tidak tahu mengenai kenyataan itu, tidak tahu siapakah yang beliau (Zuraida) merujuk.
“Mudah sahaja, saya dipilih atas tiket PKR, jadi saya ini turut setia dan pegang dengan prinsip menghormati amanah diberikan rakyat. Selagi saya dipilih atas tiket PKR, saya setia bersama PKR,” katanya hari ini.
Zuraida dalam sidang akhbar selepas Persidangan Agung Tahunan 2022 PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor semalam mengumumkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara disahkan menyertai PBM.
Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, dua individu berkenaan menjadikan keseluruhan enam Ahli Parlimen menyertai parti tersebut setakat ini.
Katanya lagi, selain dua ahli Parlimen itu, dua lagi ADUN di Negeri Sembilan juga sedang dalam proses untuk menyertai PBM kelak.
Sementara itu, Diew Ching bagaimanapun mengakui, terdapat pihak yang cuba mendekati dirinya dan meminta untuk melompat keluar dari PKR.
“Untuk pengetahuan, memang banyak parti yang cuba mendekati saya untuk bertukar parti. Kalau saya mahu lompat, awal-awal lagi saya sudah lompat iaitu ketika ‘bernilai’ tinggi bukan sekarang ketika sudah menghampiri ‘tarikh luput’, saya tidak akan menjual maruah sendiri.
“Ada pihak yang cuba sebarkan berita palsu dan tidak betul dan mengatakan saya cuba melompat ke (parti) Warisan, PBM, macam-macam. Saya tolak sangkaan itu,” katanya. – UTUSAN