42 kertas siasatan berita palsu krisis tenaga dibuka, 22 individu dipanggil MCMC

42 kertas siasatan berita palsu krisis tenaga dibuka, 22 individu dipanggil MCMC

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka 42 kertas siasatan berkaitan penyebaran maklumat palsu krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat yang tular di media sosial.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 31 kandungan melibatkan berita palsu berkaitan kos bahan api yang disebarkan di pelbagai platform digital.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, setakat ini seramai 22 individu dari seluruh negara telah dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan untuk membantu siasatan.

“Dalam masa sama, MCMC telah mengemukakan sebanyak 355 permohonan kepada penyedia platform media sosial bagi menurunkan kandungan palsu berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 154 kandungan telah berjaya diturunkan, manakala selebihnya masih dalam penelitian pihak platform terlibat,” katanya pada
sidang akhbar mingguan Kabinet dan Taklimat Khas Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.

Katanya, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang melibatkan isu sensitif seperti tenaga dan ekonomi.

Fahmi berkata, dalam situasi dunia yang mencabar ketika ini, terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan menyebarkan maklumat tidak tepat bagi meraih perhatian serta mempengaruhi persepsi masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi sebarang maklumat tanpa pengesahan, sebaliknya merujuk kepada sumber rasmi dan pihak berwajib bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Ditanya sama ada penyebaran berita palsu itu didalangi mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO), Fahmi berkata, buat masa ini, tiada maklumat dikaitkan dengan perkara itu.

“Maklumat itu (berkaitan parti politik) tidak diberikan kepada saya, tapi pada waktu ini siasatan lebih berkait kepada cara mereka mendapat maklumat itu, dari mana mereka mendapat maklumat itu, dan kenapa ia disebarkan.

“Tapi keanggotaan mana-mana parti politik tidak menjadi salah satu perkara yang setahu saya dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN