MELAKA: Dua ‘pelombong bitcoin’ diperintah membayar denda keseluruhan bernilai RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Tey Boon Sin, 33, dan Leang Tin Sheng, 43, yang masing-masing mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua ke atas Boon Sin, tertuduh didapati memberi suapan wang tunai keseluruhan bernilai RM32,000 kepada ejen TNB, sebagai dorongan untuk tidak menjalankan tindakan bagi membawa seseorang kepada seksaan undang-undang.
Wang itu diberikan sebagai suapan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dirinya kerana melakukan kesalahan menggunakan elektrik dengan curang di bawah Seksyen 37 (1) dan 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang pada 6 Oktober 2021 dan pukul 6 petang pada 19 November 2021 di sekitar daerah Melaka Tengah.
Ting Sheng pula didakwa melakukan perbuatan sama dengan memberikan wang tunai keseluruhan sebanyak RM3,000 dalam dua perjumpaan di Medan Samudera dalam daerah Melaka Tengah pada 20 September 2021 dan di A’Famosa Freeport dalam daerah Alor Gajah pada 4 Oktober 2021.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, diseksa dengan penjara yang boleh sampai satu per empat daripada tempoh yang lama sekali atau denda atau kedua-duanya sekali.
Boon Sin yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman ringan berbentuk denda diberikan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas syarikat pengiklanannya ditutup, selain menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil.
Tin Sheng yang diwakili peguam Azri Abd. Hamid pula memberikan alasan menanggung isteri serta dua orang anak dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kesalahan rasuah adalah serius dan faktor kepentingan awam.
Beliau turut memohon empat pertuduhan dihadapkan ke atas Boon Sin dan enam pertuduhan terhadap Tin Sheng dalam sebutan kes sebelum ini dipertimbangkan sebagai take into consideration (TIC) dan dijadikan pemberat hukuman.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM45,000 terhadap Boon Sin atau 11 bulan penjara jika gagal bayar dan RM10,000 terhadap Tin Sheng atau lima bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN