Cucu letak cekodok panas pada tangan nenek dipenjara 12 bulan - Utusan Malaysia

Cucu letak cekodok panas pada tangan nenek dipenjara 12 bulan

NAZRI Zol mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada neneknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan biadab seorang cucu yang tergamak menampar dan meletakkan cekodok panas pada tangan neneknya membawa padah selepas lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Nazri Zol, 34, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada neneknya, Halimah Hassan, 83, kira-kira pukul 9.20 pagi di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, ibu tertuduh telah melihat tertuduh menolak warga emas itu lalu menyuruhnya keluar dari rumah sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Selepas itu, tertuduh bertindak menampar belakang badan serta muka neneknya dan mengambil cekodok panas, lalu meletakkannya pada tangan mangsa.

Laporan perubatan Hospital Melaka mengesahkan, mangsa mengalami kecederaan soft tissue injury dan tertuduh telah ditangkap pada pukul 10 malam, 21 Oktober lepas.

Tertuduh yang merupakan penganggur merayu hukuman ringan diberikan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Mahkamah kemudian menjatuhi penjara 12 bulan bermula dari tarikh ditangkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya