Cedera disembur serbuk pemedih mata, dipukul kerana bunyi hon - Utusan Malaysia

Cedera disembur serbuk pemedih mata, dipukul kerana bunyi hon

TANGKAP layar menunjukkan seorang lelaki disembur dengan serbuk pemedih mata akibat salah faham di Taman Setia Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki disembur dengan serbuk pemedih mata, dipukul dengan menggunakan topi keledar selain keretanya dirosakkan hanya kerena perselisihan faham membunyikan hon tanpa sengaja.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di hadapan sebuah pasar raya di Taman Setia Indah, di sini, mangsa mengalami kecederaaan pada bahagian kepala, bibir, leher, tangan kanan dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berpunca setelah mangsa berusia 24 tahun berselisih faham dengan penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

“Suspek lelaki tempatan itu menyembur serbuk pemedih mata ke arah mata mangsa, memukul kepalanya menggunakan topi keledar dan memecahkan cermin kereta bahagian hadapan.

“Kemudian mangsa didatangi empat lelaki warga tempatan yang tidak dikenali disyaki kawan kepada suspek menaiki sebuah Toyota Hilux berwarna hitam terus memecahkan cermin bahagian belakang, cermin pintu sebelah kanan dan kiri serta bonet kereta menggunakan dua batang besi panjang. Mangsa tampil membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 1.55 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video memaparkan kejadian tersebut menyaksikan lima individu yang juga suspek kes berkenaan merosakkan sebuah kereta.

Video berdurasi tujuh saat itu dimuat naik oleh sebuah laman sosial Facebook Community Roda Johor (CRJ).

Raub memberitahu, pihaknya telah menerima maklumat mengenai video yang tular dalam media sosial pada pukul 4.31 petang dan sedang mengesan lima suspek lelaki warga tempatan berkenaan yang terlibat dalam kes itu bagi membantu siasatan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 324 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor Salaihudin Azual Razali di talian 013-7290763. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya