PETALING JAYA: Sempena Cabaran Joran MBSJ 2022 yang akan diadakan buat julung kalinya pada 30 Oktober 2022 (Ahad ini), Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar bersama Pengurusan Tertinggi MBSJ telah melepaskan pelbagai spesies ikan di Tasik Taman Wawasan pada hari Rabu yang lalu.
Ia sebagai persediaan pertandingan ini sekaligus menambah keseronokan kepada para peserta.
Antara jenis ikan yang dilepaskan adalah ikan patin, ikan rohu dan ikan lekor seberat 300 gram hingga 1.5 kilogram berjumlah hampir 500 kilogram.
Spesis lain yang terdapat dalam tasik ini adalah adalah ikan haruan, ikan patin, ikan toman, ikan rohu, ikan belida, ikan puyu, ikan tongsan, ikan keli dan ikan tilapia dengan berat antara lapan hingga 20 kilogram yang menanti kaki pancing.
MBSJ turut menawarkan habuan lumayan berbentuk wang tunai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM6,800 dan hadiah khas untuk pemenang ikan keli dan ikan talapia dari tempat pertama hingga keenam berbentuk hadiah wang tunai. Pihak Majlis juga turut menyediakan hadiah cabutan yang menarik buat para peserta dan antaranya adalah barangan elektrik TV LED 32 inci
serta peralatan memancing.
Penyertaan masih dibuka kepada kaki pancing dimana yuran penyertaan yang dikenakan hanyalah RM30 untuk sebatang joran dan pihak penganjur turut menyediakan t-shirt percuma bagi 200 penyertaan terawal.
Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini mulai pukul 3 petang hingga 9 malam.
MBSJ mempelawa seluruh komuniti bandar raya dan pemegang taruh di bawah kawasan pentadbiran Majlis untuk bersama-sama hadir menyertai cabaran joran ini dan berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan. Orang ramai boleh melayari media sosial rasmi MBSJ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini. – UTUSAN