PARIS: Perancis sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan sekatan ke atas peneroka Israel daripada memasuki negaranya di sebalik keganasan terhadap orang awam Palestin yang meningkat di Tebing Barat.
Perkara itu dinyatakan Pejabat Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang dikatakan bercakap mengenai perkara itu dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II.
Kedua-dua pemimpin itu mengutuk pengumuman Israel baru-baru ini mengenai penempatan di Tebing Barat yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” kata pejabat Macron dalam satu kenyataan.
Ketegangan dikatakan memuncak di wilayah yang diduduki sejak serangan Hamas 7 Oktober lalu ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza.
Sekurang-kurangnya 488 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera atau peneroka Israel di Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu, menurut pegawai Palestin.
Pada Februari lalu, 28 peneroka Israel dilarang memasuki wilayah Perancis.
Minggu lalu, Kesatuan Eropah mengenakan sekatan ke atas empat peneroka Israel dan dua pertubuhan peneroka kerana keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.
Sejak awal tahun ini, pihak berkuasa Israel mengisytiharkan hampir 1,100 hektar Tebing Barat sebagai tanah negara mereka, dua kali lebih banyak berbanding tahun rekod sebelumnya pada 1999, menurut badan pemerhati penempatan Peace Now.
Status itu memberikan kerajaan Israel kawalan penuh ke atas cara tanah itu digunakan dan tidak dapat dielakkan menyebabkannya diisytiharkan sebagai larangan kepada rakyat Palestin.
Kira-kira 490,000 peneroka Israel kini tinggal di Tebing Barat bersama tiga juta rakyat Palestin.
Jelas kenyataan itu, Macron dan Raja Abdullah juga bercakap tentang keadaan bencana kemanusiaan di Gaza dan menyatakan kebimbangan besar tentang perspektif serangan Israel ke atas Rafah, di mana lebih 1.5 juta orang mencari perlindungan selain mengulangi bantahan mereka terhadap operasi sedemikian.
“Kedua-duanya juga menegaskan perlunya gencatan senjata segera dan tahan lama untuk membolehkan penghantaran besar-besaran bantuan segera dan perlindungan penduduk awam,” tambah kenyataan itu.
Macron juga mengulangi bahawa pembebasan tebusan yang dipegang oleh Hamas adalah keutamaan mutlak bagi Perancis. -AFP










