Buruh binaan maut kemalangan tiga buah kenderaan

Buruh binaan maut kemalangan tiga buah kenderaan

KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 76 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Bukit Besi, Dungun, petang tadi. - FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang buruh binaan maut manakala dua lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 76 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Bukit Besi, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang, Ahmad Basri Muhammad, 32, dari Rantau Panjang, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, nahas tersebut melibatkan kereta jenis Honda Accord, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier. 

“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda Accord yang dipandu rakan mangsa yang berusia 41 tahun dari arah Jabor menghala ke Jerangau telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan. 

“Dalam masa sama, sebuah Perodua Alza berada di laluan bertentangan dalam perjalanan ke arah Bandar Bukit Besi, tidak sempat mengelak lalu terlanggar kenderaan dinaiki mangsa. Kemudian, datang sebuah lagi kenderaan iaitu pacuan empat roda melanggar bahagian belakang Perodua Alza,” katanya ketika dihubungi. 

Baharudin berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala rakannya cedera  pada  perut dan bahu kiri. 

“Pemandu Alza iaitu lelaki berusia 56 tahun berasal dari Kampung Pak Katak, Kuala Terengganu juga cedera pada perut manakala pemandu pacuan empat roda berusia 52 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan mangsa yang cedera juga menerima rawatan di hospital sama,” ujarnya. 

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN