PETALING JAYA: Bukit Aman akan mengambil keterangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam masa terdekat ini susulan didakwa menyentuh isu berbaur perkauman.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, turut akan dipanggil iaitu Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Michael Jeyakumar Devaraj.
Kata beliau, keterangan itu diambil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM telah menerima laporan polis mengenai kenyataan kedua-dua mereka yang didakwa menyentuh isu berbaur perkauman.
“Ucapan tersebut disampaikan semasa ‘Forum Dark Forces Towards GE15’ yang telah diadakan pada 17 September 2022 merupakan anjuran Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Noorsiah, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman. – UTUSAN










