NEW ORLEANS: Bandar New Orleans diramal bakal berdepan dengan masa depan yang suram apabila analisis terbaharu pakar mendedahkan ia berkemungkinan besar akan ditenggelami dan dikelilingi oleh lautan seawal abad ini.
Susulan itu, penduduk digesa untuk memulakan proses perpindahan dari sekarang bagi mengelakkan berlakunya keadaan huru-hara pada masa hadapan.
Meskipun kesimpulan kajian tersebut agak membimbangkan, hakikat New Orleans terdedah terhadap ancaman kenaikan paras air laut ekoran fenomena pemanasan global bukan lagi rahsia.
Kawasan pesisir pantai Louisiana merupakan antara wilayah paling rendah di dunia dan New Orleans yang dihuni oleh 360,000 penduduk dilaporkan menjadi kawasan paling terdedah kepada risiko bencana tersebut.
Bandar raya itu terletak di dalam lembangan berbentuk seumpama mangkuk di mana sebahagian besar kawasannya berada di bawah paras laut dan terletak di tengah kawasan delta yang semakin mengecil.
Hampir keseluruhan bandar dikelilingi kawasan tanah lembab yang berfungsi sebagai benteng semula jadi daripada ancaman taufan dan ombak besar.
Bagaimanapun, benteng tersebut kini dilaporkan semakin lenyap akibat tindakan manusia yang mengeringkan kawasan itu untuk tujuan pembangunan.
Aktiviti mengorek saluran terusan bagi industri minyak dan gas, serta pembinaan benteng sungai turut menjadi punca kawasan terbabit kehilangan mendapan tanah yang sepatutnya menghalang ia daripada ditenggelami air.
Sejak 1930-an, Louisiana direkodkan kehilangan sekitar 2,000 batu persegi kawasan tanah lembab.
Berdasarkan analisis yang diterbitkan dalam jurnal Nature Sustainability, kawasan pesisir Louisiana dijangka berdepan dengan kenaikan paras air laut antara 10 hingga 23 kaki.
Impak daripada fenomena itu dilaporkan amat buruk, di mana kira-kira 75 peratus daripada baki tanah lembab yang ada diramal akan lenyap, manakala garis pantai wilayah tersebut boleh beralih arah ke kawasan daratan sehingga sejauh 62 batu.
Ancaman kenaikan paras air laut ini sebenarnya bukan sahaja menyasarkan New Orleans malah sedang menghampiri bandar-bandar pesisir pantai di seluruh dunia termasuk New York, London, Bangkok, dan Shanghai.- CNN










