Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara - Utusan Malaysia

Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

SEBUAH bot nelayan Indonesia bersama empat kru ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang pada kedudukan kira-kira 53.7 kilometer barat daya Pulau Kendi, Jumaat lalu kerana disyaki menceroboh perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama empat kru, Jumaat lalu, kerana disyaki menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan pada kedudukan kira-kira 53.7 kilometer barat daya Pulau Kendi sekitar pukul 1.10 petang.

”Bot tersebut dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara semasa rondaan rutin Op Tanjung dijalankan.

”Ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong kesemua lelaki berusia sekitar 27 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam pada itu, katanya, Kapal Maritim (KM) SIKUAT turut mengusir tiga bot nelayan asing Indonesia pada awal pagi Jumaat lalu sekitar pukul 7 hingga 8  pagi yang dikesan berada di kawasan ‘Unresolved Maritime Boundary’ iaitu kira-kira 148 kilometer dari barat Pulau Kendi kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

”Bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, pihaknya turut menahan sebuah bot penumpang di kedudukan 1.1 kilometer nautika timur laut jeti Polis Marin Batu Uban, Jumaat lalu.

Menurutnya, bot itu ditahan semasa dalam perjalanan menghantar tiga pekerja yang bertugas di pelantar kabel di perairan Pulau Pinang.

”Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati, nama nakhoda bot tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan dan disyaki telah melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak pegawai pelabuhan,” katanya.

Abd. Razak menambah, bot serta nakhoda berusia 63 tahun itu ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

”Tiga pekerja pelantar kabel dibawa ke tempat mereka bertugas dengan bot penumpang yang memiliki dokumen lengkap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN