KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan memasukkan cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu selaras dengan cadangan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lalu.
Ahmad Zahid mengumumkan jika Barisan Nasional menang dengan dominan maka, cadangan melantik tiga Timbalan Perdana Menteri dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan dilaksanakan.
Penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan itu berkata, sekiranya pemimpin Sabah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri maka, biarlah kuasa diberikan untuk menentukan hak dan kepentingan negeri Sabah.
Lantikan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah ini penting bagi memastikan hal berkaitan kepentingan Sabah diberi perhatian sewajarnya bagi mempercepatkan pembangunan negeri ini.
“Tiada guna ada Timbalan Perdana Menteri tapi, tiada peranan dan kuasa untuk menentukan pembangunan di Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), mereka juga berjanji untuk memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah namun, ia sekadar janji kosong yang tidak pernah ditunaikan.
“PH gagal tunaikan janji yang telah dibuat. Tapi dalam konteks Barisan Nasional, apa yang dikatakan oleh Pengerusi BN itu akan dikotakan sekiranya Barisan Nasional menang secara dominan.
“BN Sabah akan menampilkan calon Timbalan Perdana Menteri yang benar-benar berwibawa dan berupaya membawa pembangunan, bukan hanya di Sabah tetapi juga di negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Biro Polisi DAP Sabah, Chan Foong Hin mendakwa cadangan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak itu merupakan idea PH dan cadangan itu sepatutnya dimasukkan dalam manifesto PH Sabah.
Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid terlebih dahulu memberi tawaran itu semasa kunjungan ke Kimanis pada minggu lalu.- UTUSAN










