Bertanding di Tambun bukan sebab pertembungan peribadi - Anwar

Bertanding di Tambun bukan sebab pertembungan peribadi – Anwar

ANWAR Ibrahim bersama penyokong ketika berada di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, di Kampung Manjoi, Ipoh hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusannya untuk bertanding di Perak, khususnya di Parlimen Tambun bertujuan menawarkan tawaran yang lebih baik kepada pengundi dan tidak bersifat pertembungan peribadi.

Beliau menjelaskan tidak mempunyai sebarang agenda peribadi dengan penyandang kerusi Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, apabila membuat keputusan bertanding di situ.

Malah, beliau memaklumkan mempunyai hubungan baik dengan bapa Ahmad Faizal iaitu Allahyarham Datuk Azumu Tak, ketika masih hidup serta bapa mentua Menteri Belia dan Sukan itu, Datuk Radzi Manan, khususnya ketika Anwar masih berada dalam UMNO.

“(Jadi), kita tidak mahu layan isu peribadi, saya pilih Tambun untuk melonjak kekuatan di Perak dan tawan Putrajaya,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, di Kampung Manjoi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu beliau sudah melakukan tinjauan dan kajian sebelum membuat keputusan bertanding di Tambun dan mengakui ia bukan kerusi mudah seperti Permatang Pauh, Port Dickson atau mana-mana kerusi di Selangor.

Mengenai pengumuman dua calon ‘payung terjun’ bertanding di Perak semalam, Anwar menjelaskan ia bukan bermaksud PKR Perak ketandusan calon sebaliknya sebagai salah satu strategi dalam mengubah politik negara.

Semalam, Anwar mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Agrotani yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman dan anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz, akan bertanding mewakili PKR di Perak.

Menurut Anwar, kira-kira 90 peratus calon PKR adalah aktivis parti manakala selebihnya menampilkan beberapa tokoh bagi memberi ruang kepada semua golongan mewakil parti itu.

Ditanya mengenai pengalaman beberapa parti politik yang menampilkan calon ‘payung terjun’ akhirnya tewas, Anwar berpendapat menang atau kalah adalah atas kebijaksanaan pengundi kerana yang penting ialah bertawakal kepada Allah.

Mengenai dakwaan beliau tidak melakukan perubahan atau menjaga rakyat ketika menjadi Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar memaklumkan sebenarnya pengundi di Port Dickson berharap beliau terus bertanding di situ.

“Malah, semasa pandemik Covid-19, saya tidak mengambil gaji (Ahli Parlimen) kerana rakyat terlalu susah, duit itu saya gunakan untuk membantu rakyat (di Port Dickson).

“Saya sudah siapkan ‘track record’ perkhidmatan sepanjang menjadi Ahli Parlimen Port Dickson (untuk dimaklumkan kepada pengundi Tambun) dan ini boleh dibandingkan di sini,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya