PUTRAJAYA: Kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bukan sekadar membuka peluang pekerjaan, malah menjadi pemangkin dalam memanfaatkan kepakaran anggota tentera selepas bersara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama strategik itu dijangka menyediakan kira-kira 3,200 peluang pekerjaan kepada pesara tentera dalam masa terdekat untuk menceburi sektor pengangkutan dan logistik yang semakin berkembang.
Beliau berkata, kerjasama itu dapat direalisasikan menerusi inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dikendalikan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
“Inisiatif ini menjadi bukti keberkesanan pendekatan rentas kementerian dalam melaksanakan agenda pembangunan modal insan negara.
“Ini (inisiatif) berkenaan bukan sahaja game changer sebaliknya ia antara yang saya impikan ketika menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik Antara MOT dan MINDEF Berkaitan TVET di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, usaha itu tercetus susulan pembentangan yang dibuat PERHEBAT pada Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikannya kira-kira tiga bulan lalu.
Menurutnya, pendekatan baharu yang diperkenalkan PERHEBAT dengan menawarkan kursus berteraskan keperluan industri semasa berjaya menarik perhatian MOT dan seterusnya dipercepatkan pelaksanaannya.
“Apabila kita tidak bekerja secara silo, keberhasilan dapat dicapai dengan lebih pantas. Kursus-kursus yang ditawarkan juga tidak lagi bersifat konvensional, sebaliknya disesuaikan dengan kehendak pasaran pekerjaan,” katanya.
Katanya, sektor seperti logistik, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa, MRO maritim serta pelbagai bidang perkhidmatan lain memerlukan tenaga kerja yang berdisiplin dan berkemahiran tinggi.
Jelasnya lagi, pegawai dan anggota tentera mempunyai kelebihan tersebut hasil latihan serta pengalaman sepanjang perkhidmatan mereka.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan terus memperkukuhkan agenda TVET negara menerusi pelaksanaan TVET 2.0 yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berimpak tinggi dan berkemahiran tinggi mengikut permintaan industri.
Katanya, sebanyak RM7.9 bilion diperuntukkan tahun ini bagi menyelaras dan memperkasakan 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian.
“Penyertaan dalam institusi TVET juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila jumlah pelajar meningkat daripada 121,000 orang dua tahun lalu kepada 497,000 orang ketika ini,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa kerajaan akan memperkenalkan beberapa lagi inisiatif baharu yang mampu membawa perubahan besar kepada ekosistem TVET negara dalam masa terdekat.-UTUSAN










