Bekas pengurus bank diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

Bekas pengurus bank diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

SEORANG bekas pengurus bank diperintah jalani pemeriksaan psikiatri sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor, hari ini. -  FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Mahkamah Majistret di sini, memerintahkan seorang bekas pengurus bank menjalani pemeriksaan psikiatri sebelum didakwa atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.

Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam tertuduh lelaki berusia 59 tahun itu.

Terdahulu, peguam Dennis Micheal Pereira memohon kebenaran mahkamah bagi anak guamnya menjalani pemeriksaan di hospital psikiatri.

“Berdasarkan apa yang diperoleh, anak guam kami itu memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental.

“Berikutan itu, tidak boleh sebarang pengakuan direkodkan dan perlu mendapat pengesahan daripada hospital psikiatri terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, permohonan itu dilakukan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah. 

Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkilfi yang mengendalikan kes tidak mempunyai bantahan mengenai permohonan pembelaan itu.

Amirul Asyraf kemudian menetapkan 6 Disember depan bagi sebutan pendakwaan ke atas tertuduh.

Lelaki itu sepatutnya dihadapkan di dua mahkamah berasingan atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaaan.

Akhbar semalam melaporkan kegiatan licik seorang pengurus bank disyaki memperdaya pelanggannya untuk menyertai satu skim pelaburan terbongkar apabila dicekup polis.

Lelaki itu dipercayai menawarkan skim berkenaan sebelum bertindak mengeluarkan wang akaun bank mangsa tanpa pengetahuan.

Penahanan suspek semalam dilakukan hasil laporan polis seorang pengurus kedai emas yang menyedari wang akaun banknya berjumlah RM850,000 dikeluarkan pada 14 Januari lalu.

Wanita berusia 60 tahun itu mengesyaki perbuatan berkenaan dilakukan suspek di sekitar daerah ini tanpa kebenarannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN