Banjir surut, tinggal 112 mangsa masih di 3 PPS

Banjir surut, tinggal 112 mangsa masih di 3 PPS

ANGGOTA APM mengemas khemah selepas PPS di SMK Bukit Batu, Kulai ditutup malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir yang semakin surut menyaksikan jumlah mangsa yang masih menghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semakin berkurangan kepada 112 orang membabitkan 36 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, banjir hanya melibatkan dua daerah, iaitu Pontian dan Kluang dengan tiga PPS masih dibuka, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kampung Renggam dan SK Sungai Linau di Kluang serta SK Melayu Raya di Pontian.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mangsa yang terjejas merupakan penduduk Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti di Pontian membabitkan 37 mangsa daripada 10 keluarga.

“Situasi banjir yang berlaku di Kluang pula melibatkan 76 mangsa daripada 26 keluarga dari Kampung Tengah, Renggam dan Kampung Sungai Linau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, kejadian banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat melebihi dua jam pada pukul 10 pagi yang menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air di beberapa daerah.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, setakat pagi ini, sebanyak dua PPS ditutup setelah keadaan cuaca bertambah baik.

PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu di Kulai yang ditutup pada 8 malam tadi melibatkan 159 mangsa daripada 41 keluarga.

“PPS di SK Kampung Pasir di Kampung Pasir, Tampoi pula yang dibuka pada 7 malam semalam sebagai persediaan bagi menerima kehadiran mangsa banjir juga ditutup pada 12.30 tengah malam tadi selepas tiada pendaftaran masuk mangsa.

“Semua mangsa yang terbabit dilaporkan sudah pulang ke rumah masing-masing,” katanya. 

PPS SK Melayu Raya dijangka akan ditutup pada hari ini sekiranya keadaan banjir semakin pulih.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN