Sepak takraw tamatkan kemarau 34 tahun

Sepak takraw tamatkan kemarau 34 tahun

SKUAD sepak takraw negara memenangi pingat emas acara regu berpasukan Sukan SEA selepas menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan akhir di Nakhon Phatom, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAKHON PATHOM: Skuad sepak takraw negara menamatkan penantian panjang selama 34 tahun apabila muncul juara acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-1 pada aksi final yang penuh dramatik, semalam.

Kejayaan bersejarah itu lebih manis apabila dilakar di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang memenuhi Gimnasium Nakhon Pathom, sekali gus menyaksikan Malaysia merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1991 di Manila.

Thailand terlebih dahulu berada di hadapan menerusi regu pertama yang diwakili Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa (Varayut Jantarasena) dan Marukin Phanmakon apabila menewaskan gandingan Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir 15-9, 15-11, 15-13 pada set pertama.

Tekanan itu tidak mematahkan semangat kem negara apabila regu kedua, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam membuktikan status mereka sebagai regu terbaik dunia ketika ini apabila menang 17-14, 15-13 bagi mengikat kedudukan keseluruhan 1-1.

Sorakan ‘Malaysia Boleh’ terus bergema apabila regu ketiga negara, Zulkifli Razak (Zarif Marican Ibrahim Marican), Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi turun dengan misi menamatkan kemarau emas dan mereka berjaya menggalas tangungjawab dengan kemenangan 15-13,15-11 untuk emas milik Malaysia.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, para pemain telah membuktikan bahawa mereka telah ‘reset’ pemikiran bahawa Thailand sebenarnya boleh dikalahkan dalam acara regu berpasukan.

“Alhamdulillah, saya berasa bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana hari ini tercipta lagi satu sejarah sepak takraw negara. Setelah 34 tahun kita menanti, kita menunggu untuk menjadi juara acara berpasukan.

“Kemenangan ini lebih manis kerana ia berlaku di bumi Thailand, dan kita berjaya mengalahkan mereka. Ia adalah satu kejayaan dramatik. Semua menangis hari ini, penyokong, pemain, malah saya sendiri turut menitiskan air mata.

“Saya jumpa pemain sebelum final dan saya kata ‘kita dah tamatkan semua badi Thailand. Kita dah tamatkan (badi) regu, kuadran, dan double’. Ini peluang entah kali ke berapa. Saya minta mereka ‘reset’ dalam kepala, main seolah-olah tiada kekalahan sebelum ini.

“Kita hanya nak menang hari ini (semalam) sahaja. Alhamdulillah, pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi, kesungguhan, dan prestasi yang saya rasa maksimum.

“Ibu segala pingat emas sepak takraw dan ibu segala kemenangan adalah pada hari ini, kerana ini adalah acara berpasukan. Ini acara yang paling berprestij. Kita dah pecahkan rekod regu, kuadran, dan double. Tinggal acara berpasukan sahaja yang belum. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kita Berjaya,” katanya.

Ditanya tentang ganjaran untuk pemain yang melakar sejarah baharu sepak takraw Malaysia, Mohd Sumali berkata, daripada dirinya sendiri semestinya ada untuk membalas pengorbanan pemain.

“Saya sudah beritahu pemain sebelum pergi, kalau dapat pingat emas, saya akan berikan (ganjaran) daripada peribadi saya sendiri. Yang lain, saya serah kepada pihak lain. Ada juga pihak lain yang mahu memberi sumbangan seperti Timbalan Presiden dan mungkin penaja. Itu adalah rezeki semua pemain.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin dan khususnya Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria yang sentiasa memberikan sokongan padu sehingga laungan ‘Malaysia Boleh’ bergema di sini.

“Ini baru permulaan. Kita masih ada tiga lagi acara iaitu kuadran campuran, kuadran, dan regu. Insya-Allah, kita doakan agar misi memburu emas dapat diteruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN