PETALING JAYA: Kerajaan digesa segera membangunkan industri penghasilan makanan ayam supaya negara tidak lagi bergantung kepada sumber bahan mentah import yang mahal dan tidak konsisten bekalannya.
Penasihat Kehormat Penternak Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat Arif berkata, memandangkan makanan ayam menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kos operasi, maka perlu ada sistem pengeluaran ayam bersepadu dalam negara yang menggunakan ramuan tempatan bagi menangani isu kenaikan jagung bijirin dan soya yang diimport.
“Isu ayam dan telur ini bergantung kepada pasaran semasa. Kalau tiada galakan dari kerajaan, maka sukar untuk kita menambah reban dan stok ternakan.
“Maka, ini memberi kesan buruk jangka masa panjang terhadap bekalan ayam negara. Jika bekalan kurang, pengguna yang terkesan. Akhirnya, lagi susah nak kawal harga dan pasaran.
“Sekarang kos operasi meningkat terutama makanan ayam. Malah isu penyakit ayam juga semakin menjadi-jadi. Itu sebab penternak banyak yang jadi kurang berminat menambah kapasiti, sebab risikonya besar,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mempertimbang langkah menaikkan harga siling ayam dan telur atau mengapungkan harga sumber protein tersebut bagi mengimbangi keperluan pengeluar ayam dan telur seluruh negara.
“Langkah memberi subsidi ini membantu penternak serba sedikit. Tidaklah ia menguntungkan, cuma cukup sekadar untuk penternak ini break even, cukup-cukup makan. Sebab kalau tiada subsidi ini, memang tak boleh buat.
“Kerajaan juga harus menaikkan lagi harga siling (ayam). Memang kena naik, dan yang sesuai kita cadangkan ialah RM9.90 sekilogram. Atau kerajaan apungkan harga. Selain itu, harga di ladang juga boleh dinaikkan kepada RM6.80 sekilogram,” katanya. – UTUSAN










