Bajet terbesar, hutang juga besar -Mohd. Shafie

Bajet terbesar, hutang juga besar -Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Biarpun Bajet 2023 menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah namun, masih terdapat kelompangan yang perlu ditambah baik.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan Bajet 2023 dengan peruntukan RM372.3 bilion sebagai bajet dengan bebanan hutang yang besar sejak enam penggal beliau menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata, bajet bersifat jangka pendek yang memperuntukkan RM6.3 bilion kepada Sabah itu hanya memperlihatkan satu sahaja projek baharu iaitu pembangunan Jalan Serudong, Kalabakan ke Simanggaris, Kalimantan Indonesia.

Bagi projek lain, tiada yang baharu kerana pembinaan sekolah daif yang diumumkan hanya sekadar ulangan daripada pengumuman yang dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya.

Pada akhir tahun, isu sekolah daif dan masalah kemudahan bilik darjah yang tidak lengkap akan dibangkitkan sekali lagi.

Bagi menyelesaikan isu sekolah, kerajaan perlu memberi perhatian kepada keperluan rakyat dan bukannya mendengar suara kontraktor atau ahli Parlimen yang menjaga kepentingan sendiri.

Peruntukan untuk Kementerian Pertahanan kira-kira RM17 bilion juga bukan hanya untuk pembelian kapal sebaliknya, mengambil kira aspek keselamatan secara menyeluruh.

Kerajaan perlu melihat keperluan di sempadan yang benar-benar berhadapan ancaman keselamatan. Jangan pula melihat keperluan kontraktor yang hanya mahukan projek.

Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, peruntukan RM6.3 bilion kepada Sabah itu masih tidak mencukupi kerana sebagai sebuah negeri yang luas, peruntukan yang lebih besar diperlukan bagi menyediakan kemudahan prasarana seperti jalan raya dan air yang baik.

Walaupun bajet tersebut memberi kelebihan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun, itu tidak merisaukannya kerana begitulah dalam politik.

“Sekiranya kita diundi, kita akan tambah baik dan perhalusi bajet yang telah dibentangkan itu sebagai persediaan menghadapi krisis ekonomi dunia pada tahun depan.

“Kita perlu mengurangkan perbelanjaan dari segi emolumen atau pembayaran gaji menteri dengan mengurangkan lantikan menteri dan timbalan menteri serta lantikan khas yang tidak perlu. Dalam Bajet 2023, kira-kira RM5 bilion untuk pembayaran gaji sahaja iaitu peningkatan 4.9 peratus berbanding peruntukan emolumen tahun ini.

“Memang saya setuju bantuan rakyat amat penting dan saya tidak menolak bahawa pemberian bantuan itu baik, bukan semua buruk dalam bajet kali ini. Tapi, ia masih tidak mengambil kira semua golongan.

“Saya fikir tak semestinya jika mereka tidak diundi, kita takkan tambah baik (bajet ini). Ia perlu ditambah baik demi kepentingan rakyat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya