KUALA TERENGGANU: Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini diharap dapat memberi sinar baharu dalam memenuhi keperluan semua golongan termasuk belia.
Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad berkata, kerajaan boleh memberi fokus untuk menambah baik bantuan geran perniagaan sedia ada.
Sebagai contoh, katanya, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang menyediakan geran maksimum RM15,000 setiap tahun wajar ditingkatkan kepada RM20,000 atau RM25,000.
Anas Hazizul menjelaskan, hal ini kerana semakin ramai golongan belia menceburi bidang perniagaan mikro termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Perniagaan menjadi pilihan golongan muda kerana faktor aliran tunai secara terus memudahkan mereka menguruskan kewangan serta meneruskan kelangsungan hidup.
“Selain TUBE, geran pendigital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga RM5,000 juga disediakan pihak kerajaan. Saya lihat jumlah itu boleh dinaikkan sedikit lagi.
“Bukan itu sahaja, golongan belia juga boleh diperkasakan melalui lebih banyak penganjuran persidangan atau konvensyen melibatkan belia dari seluruh dunia.
“Secara tidak langsung ianya boleh memperkenalkan konsep ‘youth tourism’ serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan atau perniagaan kepada belia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu Pengerusi Gerakan Belia 4B Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd. pula berkata, beliau menyifatkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) wajar diteruskan namun syarat kelayakan pemohon perlu dinilai semula.
Katanya, kerajaan harus melonggarkan syarat atau kuota gaji pemohon agar lebih ramai golongan belia menikmati BKM yang ketika ini menerima bantuan RM300 sehingga mencecah RM2,000.
“Suntikan tunai amat penting terutama menghadapi krisis ekonomi yang dijangka melanda. Jadi selain melonggarkan syarat BKM, jumlah bantuan juga boleh ditingkatkan.
“Kemaskini syarat itu dilakukan supaya manfaat BKM itu dirasai lebih ramai golongan belia termasuk kategori keluarga muda dan yang berstatus B40,” katanya.
Graduan universiti awam, Muhammad Danial Fauzi, pula mengharapkan inisiatif sedia ada seperti Peranti Siswa Keluarga Malaysia, e-Pemula dan MySalam juga dapat dikekalkan.
Bantuan-bantuan itu katanya diperlukan supaya golongan muda tidak berasa dipinggirkan dalam Bajet 2023 serta membantu menghadapi krisis ekonomi tahun depan. – UTUSAN










