MELAKA: Sebagai negeri berasaskan pelancongan, kerajaan negeri menyambut baik penyediaan Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion, bertujuan untuk pemulihan hotel, pembaharuan bandar dan pemuliharaan warisan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, peruntukan besar melalui Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion amat realistik dalam usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19, di samping terus mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Beliau berkata, Bajet 2023 dilihat mencakupi semua spektrum rakyat termasuk golongan muda, mahasiswa, belia, wanita, warga emas, Orang Asli, orang kurang upaya, peniaga kecil dan penjaja serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Selain itu, kerajaan negeri bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk memulihkan sektor pelancongan khususnya dalam aspek galakan, promosi dan pemasaran.
“Begitu juga dengan peruntukan yang disediakan untuk sektor kesihatan dan pengangkutan awam, kerajaan negeri turut menyokong penambahbaikan fasiliti kesihatan di Hospital Melaka serta penambahan laluan perkhidmatan bas henti-henti di Melaka seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023.
“Kerajaan negeri juga amat bersetuju tentang peruntukan yang disediakan untuk projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang diharapkan akan turut memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Melaka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, bajet kali ini perlu segera responsif kepada sebarang cabaran dan menyediakan bantuan yang komprehensif.
Katanya, Bajet 2023 akan dipandu dengan 3R iaitu responsif, bertanggungjawab dan reformis.
Kerajaan juga menyasarkan ketibaan pelancong asing lebih daripada 15 juta dengan nilai pendapatan RM47.6 bilion pada tahun hadapan. – UTUSAN









