ASAJAYA: Agensi Penyelamat Pertahanan Awam Malaysia (APM) Cawangan Asajaya giat mengukuhkan anggota serta aset yang lain dalam usaha bersiap sedia menghadapi bencana banjir di daerah berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam, Hafizul Samah berkata, seramai 200 anggota APM Cawangan Asajaya telahpun diberikan latihan bagi memantapkan pelaksanaaan serta operasi penuh 24 jam bagi menghadapi bencana tersebut.
“Pejabat APM Asajaya telah membuat persiapan menghadapi monsun timur laut di mana bilik gerakan monsun timur laut APM telah dibuka selain seramai 200 anggota telah siap sedia dari segi mental dan fizikal utk menghadapi bencana kali ini.
“Bagi tahun ini pihak APM sendiri telah mengenalpasti kawasan ‘hotspot’ untuk daerah di Simunjan lebih memfokuskan di kawasan Lubok Buntin dan kawasan Kampung Engsika di samping itu juga adalah kawasan Kampung Gumpey,” katanya dalam sidang media di Pejabat Pertahanan Daerah Asajaya hari ini.
Beliau juga turut mengingatkan orang ramai yang berada di tempat yang berisiko banjir agar membuat persiapan rapi dan bertindak sewajarnya sekiranya berlaku kecemasan bagi mengelakkan sebarang risiko bencana yang tidak diingini.
“Jika berlakunya hujan lebat beterusan pastikan persiapan bencana seperti baju, sijil, surat-surat penting dibawa terus ke pusat pemindahan dan pastikan terus berpindah jikalau air sudah naik.
“Untuk pusat pemindahan di Sebuyau ada 5 dan di Asajaya ada 18 pusat pemindahan dan semua pusat pemindahan tersebut akan diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dibantu oleh pihak APM sendiri,” tambahnya lagi.
Tegas Hafizul, sekiranya berlaku bencana banjir mangsa boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana APM di talian 082-827091 dan pihak APM akan terus ke tempat kejadian bagi memastikan mangsa dan orang awam dalam keadaan selamat.- UTUSAN









