ANALISIS
‘AYOR bukan ayaq’ menjadi tagline kempen penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tagline itu jelas sindiran terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang calon luar yang akan menentangnya di Parlimen Tambun.
Anwar adalah pemimpin politik kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang di negeri yang loghatnya berbeza dengan Perak termasuk perkataan air disebut ‘ayaq’.
Beliau bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum bertanding di Parlimen Port Dickson.
Ahmad Faizal pula menang Parlimen Tambun pada PRU14, mengalahkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Pas.
Ketika tagline ‘ayor bukan ayaq’ sudah menjadi perbualan umum di Tambun, Barisan Nasional (BN) pula tampil dengan perkataan standard iaitu ‘air’ sebagai menggambarkan ia pilihan yang sesuai buat semua.
Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, BN yakin menang di Tambun kerana sudah lama bertapak di situ berbanding calon lawan, terutama Anwar.
“Biarkan ‘ayor dan ayaq berlaga’, air (BN) juga dipilih orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika Anwar dan Ahmad Faizal dilihat menjadi fokus di Tambun, peluang BN untuk menang juga tidak boleh dinafikan.
Ini kerana perubahan pola pemikiran pengundi sekarang dilihat amat berbeza pada PRU14.
Di bawah kerajaan PH selama 22 bulan, diikuti kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan selepas itu kerajaan yang diterajui Perdana Menteri daripada UMNO, rakyat menyaksikan kerajaan yang terdiri daripada pelbagai gabungan, sangat tidak stabil.
Untuk itu kali ini pengundi akan lebih bijak membuat pilihan untuk melihat sebuah kerajaan yang stabil.
Lebih daripada itu, pada PRU14, Ahmad Faizal menang kerana undi DAP dan PKR, tetapi sekarang beliau tidak lagi berada dalam PH.
Dalam hal ini, Aminuddin percaya BN mempunyai peluang untuk menang di Tambun.
“Pada PRU14, 90 peratus undi Cina beralih kepada PH. Tapi kali ini BN yakin pengundi Cina akan memilih BN, jika BN dapat undi Cina 15 hingga 20 peratus, pengundi India 50 peratus dan undi Melayu, BN boleh merampas Tambun,” kata Aminuddin.
BN dalam mood terbaik untuk menghadapi dua nama besar di Tambun yang yakin nama besar bukan penentu kemenangan.
Bagi Aminuddin, kekalahan calon BN, Ahmad Husni pada PRU14, yang mempunyai nama besar sebagai seorang menteri kepada calon baharu ketika itu, Ahmad Faizal, boleh menerbitkan keyakinan BN di Tambun.
“Kami (BN) sudah lama di sini, ini kawasan kita. Kedua-dua mereka (Anwar dan Peja) hanya besar pada nama tapi belum tentu boleh menang, nama besar bukan jaminan untuk menang,” kata Aminuddin. – UTUSAN










