PRU15: Persaingan ‘rebut’ Perlis terbuka

PRU15: Persaingan ‘rebut’ Perlis terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tidak ada calon daripada mana-mana parti politik yang menang selesa di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Daripada keseluruhan 15 kerusi DUN di negeri ini, 11 kerusi menyaksikan calon yang menang sama ada daripada Barisan Nasional (BN), PKR dan Pas tidak melebihi majoriti 1,000 undi.

Hanya empat DUN iaitu Indera Kayangan (PKR), Kuala Perlis (PKR), Chuping (BN) dan Tambun Tulang (BN) yang calonnya memenangi majoriti lebih 1,000 undi.

Malah, di DUN Bintong iaitu kerusi Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sendiri juga hanya menyaksikan kemenangan dengan majoriti sekitar 847 undi.

Di kawasan-kawasan lain bagi calon BN ketika itu antaranya DUN Titi Tinggi calonnya hanya menang dengan majoriti 142 undi, di Beseri (416 undi), Mata Ayer (720 undi), Santan (949 undi), Kayang (435 undi), Pauh (143 undi) dan Simpang Empat (82 undi).

Pas yang menang dua kerusi iaitu DUN Guar Sanji dan Sanglang juga dilihat masih belum selesa apabila dalam PRU14 masing-masing hanya menang dengan majoriti 328 undi dan 42 undi iaitu majoriti paling rendah.

PKR yang menang tiga kerusi DUN pula buat pertama kali dalam sejarah menyaksikan dua kawasan iaitu Indera Kayangan dan Kuala Perlis menang lebih 1,000 undi melainkan di kerusi DUN Sena dengan majoriti 314 undi.

Menjelang PRU15, jika diambil kira jumlah majoriti rendah yang dimenangi sebahagian besar calon bertanding dalam pilihan raya umum lalu, semua parti politik yang bertanding khususnya BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang terbuka.

Meskipun Perlis masih kekal sebagai kubu kuat atau deposit tetap BN, cabaran daripada parti-parti lain tidak boleh dipandang ringan.

Pas menerusi PN pula mesti berusaha lebih keras dalam PRU15 untuk mengekalkan DUN Guar Sanji dan Sanglang selain cuba merampas beberapa kerusi lain yang berpontensi antaranya Simpang Empat.

PH khususnya PKR mungkin tidak ada masalah mengekalkan kerusi DUN Indera Kayangan yang menang majoriti lebih 3,000 undi dalam PRU14, namun bagi dua kerusi lain iaitu Sena dan Kuala Perlis, peluang nampak lebih seimbang.

Dalam PRU15, BN masih yakin mampu mengekalkan penguasaan di Perlis manakala PN dan PH sudah melaungkan amaran awal selain yakin mampu merampas negeri ini.

Sebelum ini, PN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melontarkan keyakinan mampu menang lebih lapan kerusi DUN sekali gus mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri. Gabungan tersebut juga bakal menamakan wakil daripada Pas sebagai calon Menteri Besar.

PN juga sudah memuktamadkan proses pembahagian kerusi di mana Pas bakal meletakkan calon di sembilan kerusi DUN manakala Bersatu pula enam.

Persaingan di Perlis dalam PRU15 sudah pastinya bakal menarik perhatian sama ada BN mampu kekal menguasai kerajaan negeri atau akan ada gabungan baharu mencipta sejarah merampas Perlis buat kali pertama daripada BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN