(ANALISIS) Ismail, Shahaniza 'rebut' kerusi Parlimen Maran? - Utusan Malaysia

(ANALISIS) Ismail, Shahaniza ‘rebut’ kerusi Parlimen Maran?

ISMAIL ABD. MUTTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SHAHANIZA SHAMSUDDIN

MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), suhu politik di Maran, Pahang, dikatakan ‘panas’ terutama dalam soal pemilihan calon bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen tersebut.

Ahli Parlimen Maran yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, 67, difahamkan mahu terus bertanding di situ dan dalam masa sama kerusi ‘panas’ itu turut ‘direbut’ oleh Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, 52.

Umum terutama rakyat di Maran sudah mengetahui tentang ketidakserasian dua pemimpin itu terutama selepas Jun 2018 apabila Ismail tewas jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran kepada Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul.

Sememangnya, kedua-dua pemimpin itu yang boleh diibaratkan abang dan adik memang sudah dikenali dalam kalangan rakyat di Maran kerana telah lama berkhidmat di situ.

Ismail sudah empat penggal mempertahankan kerusi Parlimen Maran sejak 2004. Maran menjadi kerusi Parlimen pada 1974 dan sejak itu ia kekal kubu kuat UMNO dan BN.

Shahaniza mula dikenali di persada politik negara apabila antara tokoh muda menjadi perintis kewujudan Pergerakan Puteri UMNO pada 10 Oktober 2000 bersama Datuk Seri Azalina Othman Said.

Walaupun dalam satu kapal, dua tokoh politik UMNO Maran itu tetap bersaing merebut pengaruh dan prestasi kerja untuk dinilai rakyat.

UMNO Bahagian Maran yang diketuai Shahaniza bermatlamat mengekalkan Parlimen Maran dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul sekali gus merampas DUN Chenor dan Luit daripada Pas pada PRU15.

Pada PRU14 lalu, Shahaniza mengekalkan DUN Kuala Sentul sebagai kubu kuat BN apabila mendapat 5,541 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Azmi Nadzri dan calon PKR, Bostamin Bakar.

Ismail pula mengekalkan kerusi Parlimen Maran menewaskan calon Pas, Hasenan Haron dan calon PKR, Ahmad Farid Ahmad Nordin dengan majoriti 3,763 undi.

Antara Ismail dan Shahaniza, siapa yang akan berjaya ‘merebut’ kerusi Parlimen Maran? Terpulang pucuk pimpinan BN menentukannya demi memastikan perebutan itu tidak merugikan parti tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×