Ajal dihempap besi ketika curi tabung ekzos kereta - Utusan Malaysia

Ajal dihempap besi ketika curi tabung ekzos kereta

KEADAAN mayat suspek yang ditemukan di tepi jalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang lelaki meninggal dunia apabila dihempap besi pengangkat kereta ketika cuba mencuri tabung ekzos sebuah kereta di tepi jalan Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang di sini,semalam.

Suspek warga tempatan berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian antara pukul 4 hingga 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan pembantu perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang yang merawat seorang pesakit yang terbaring di tepi sebuah Honda Accord.

Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek dan rakannya dipercayai sedang cuba mencuri tabung ekzos kereta tersebut.

“Namun, besi pengangkat kereta digunakan mereka tiba-tiba terjatuh dan menghempap lelaki itu yang berada di bawah Honda tersebut.

“Ia mengakibatkan suspek kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Tambah beliau, semakan mendapati suspek memiliki sembilan rekod lampau iaitu tujuh jenayah dan dua dadah.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di sekitar Telok Panglima Garang pukul 10.45 pagi semalam bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan mendapati suspek kedua itu mempunyai tujuh rekod jenayah melibatkan kes curi ekzos, pecah rumah dan dadah,” jelasnya.

Kata Ahmad Ridhwan, pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap suspek hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN