KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 18 Jun ini.
Pada tarikh tersebut, mahkamah turut mendengar rayuan silang oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan sebarang faedah dikenakan atas jumlah ganti rugi tersebut.
Difahamkan, tarikh itu ditetapkan pada pengurusan kes yang dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin.
Pada 8 November 2024, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Guan Eng selepas didapati telah memfitnah berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.
Hakim Roz Mawar Rozain menyatakan, Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Beliau memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng.
Ketika membacakan penghakimannya, Roz Mawar berkata, tingkah laku Muhyiddin adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta (dalam kenyataan berkenaan).
Roz Mawar berkata, namun Muhyiddin tidak berbuat demikian dan terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Guan Eng selepas plaintif memaklumkan kepadanya bahawa dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak benar.
Pada 16 Disember 2024, hakim sama memberikan penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin berhubung pembayaran ganti rugi dan memerintahkan membayar RM400,000 kepada Guan Eng sebelum 31 Disember 2024 dan bakinya sebelum 27 Januari 2025.
Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung tiga kenyataan berunsur fitnah di laman sosial Facebook dalam isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Guan Eng turut mendakwa, kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasa dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai serta penalti terhadap yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.-UTUSAN










