Air laut Tanjung Sepat, Bagan Lalang tidak sesuai aktiviti manusia

Air laut Tanjung Sepat, Bagan Lalang tidak sesuai aktiviti manusia

Juruteknik lapangan, Mohd. Syamsul Setapa menunjukkan sampel air yang diambil di muara Tanjung Sepat, Sepang bagi mengesan pencemaran pada 22 September lalu. – Utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kandungan mikrobiologi air laut Tanjung Sepat dan Bagan Lalang di Sepang ada­lah bahaya untuk sentuhan kulit manusia.

Ini kerana kandungan mikrobiologinya melebihi pia­waian ditetapkan mengikut Stan­dard Kebangsaan Kualiti Air Rekreasi Semulajadi, Kemen­terian Ke­sihatan Malaysia (KKM).

Pengesahan itu ada­lah hasil da­patan ujian kua­liti air dari sam­­pel yang di­ambil di dua lokasi berke­naan pada 22 Sep­tember lalu.

Ia dijalankan de­ngan kerja­sama sebuah mak­­­mal be­bas ber­tauliah di Sela­ngor eko­ran pendedahan Utusan Malaysia berhubung pencemaran babi di kawasan itu yang terletak berhampiran pantai Tanjung Sepat.

Keputusan makmal yang di­­peroleh pada 30 September lalu mendapati parameter ba­gi kandungan faecal coliform di bawah ujian mikrobiologi ia­i­­tu tahap kandungan najis sa­ma ada haiwan atau manusia dalam sumber air di kedua-dua tempat itu adalah tinggi.

Bagi air muara pantai Tanjung Sepat, dapatan nilai yang diperoleh adalah 2,500 cfu/100mL manakala di Bagan Lalang pula pada kadar lebih tinggi iaitu 3,800 cfu/100mL sekali gus melebihi standard kontak primer (mandi) bagi sentuhan kulit manusia yang ditetapkan pada kadar 100 cfu, manakala tahap kontak sekunder pula pada kadar 1,000 cfu.

Mengulas kepada Utusan Ma­­laysia me­ngenai dapatan ujian itu, Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr. Zaki Zainudin berkata, nilai itu boleh dikatakan tinggi melebihi pia­waian yang disyorkan Kementerian Ke­sihatan untuk sentuhan kulit manusia.

“Tahap kandungan najis faecal coliform di bawah kategori mikrobiologi di Tanjung Sepat dan Bagan Lalang adalah tinggi dan ia tidak sesuai untuk akti­viti manusia,” katanya.

Dapatan ujian sampel kualiti air itu turut mendedahkan kandungan ammonia di Tanjung Sepat itu juga agak tinggi dari paras normal jika mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS) iaitu berada pada kelas 4 kategori tercemar.

Menurut Zaki, ammonia lazimnya berpunca dari pencemaran bahan organik termasuk najis, atau daripada sumber baja selain berpunca tapak pelupusan sampah yang berpotensi menyebabkan kandungan bahan itu tinggi di dalam air.

Jelasnya, kesan kandungan tinggi ammonia dalam sumber air sungai misalnya boleh menjadi toksik kepada ikan, bermakna ikan-ikan sensitif tidak boleh hidup.

“Satu lagi indikator ialah parameter bagi Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) yang mana kandungannya di Tanjung Sepat adalah berada pada tahap 7 iaitu di kelas IV, manakala di Bagan Lalang pada tahap 2 iaitu berada di kelas II. Bagaimanapun ia tidak terlalu tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, warna air yang berwarna hitam berkemungkinan adalah bersifat semulajadi yang ada sesetengah sungai dipengaruhi kawasan sekitar seperti tanah gambut apabila berlaku percampuran natural antara kawasan persekitaran dengan air di situ.

“Tetapi ada setengahnya warna hitam itu memang disebabkan pencemaran. Cuma bila sungai hitam dan wujud pula pencemaran masuk ke sungai, jadi susah nak bezakan mana satu pencemaran atau ia bersifat semulajadi kerana salah satu indikator pencemaran ialah kandungan ammonia.

Beliau berkata, penilaian tahap pencemaran sesuatu sumber air adalah berdasarkan kriteria tertentu dan parameter yang ditentukan mempunyai kiraan tersendiri sebelum boleh dikategorikan ia berada pada kelas mana mengikut piawaian NWQS.

Laporan khas Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.

Tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi di hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat, di sini.

Terdapat 168 kandang ternakan babi di Kampung Ladang Tumbuk dengan anggaran 200,000 ekor babi diternak pada satu-satu masa untuk pasaran tempatan dan luar negara. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN