PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua calon dan penyokong parti politik untuk menjaga nilai murni dan adab di samping menjauhi fitnah dan provokasi dalam keghairahan berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka juga menyeru semua calon dan penyokong parti politik untuk mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada 19 November ini.
Katanya, Al-Sultan Abdullah menasihati semua calon untuk bertanding secara sihat dengan mengelak kempen menyerang dan sentiasa akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seri Paduka mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga para calon dan penyokong mereka. Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekeh sesiapa sahaja semasa berkempen.
“Seri Paduka menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni. Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPR menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian PRU15 yang meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.
Sementara itu, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November dan pengundian awal pula, tarikh 15 November dipilih dan tempoh berkempen bagi PRU15 adalah 14 hari.
Terdahulu, Ahmad Fadil memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali di Istana Negara, semalam.
Katanya, Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan PDRM dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan PRU15 dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota. – UTUSAN