KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak goyah walaupun seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah keluar parti.
ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda mengumumkan memberi sokongan terhadap Parti Warisan (Warisan).
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan ADUN Bersatu itu keluar parti yang mana tindakan tersebut sudah dijangkakan pihaknya.
“Betul dan sudah dijangka. Dia mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu menentang penyandangnya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili,” katanya melalui aplikasi WhatsApp semalam.
Berita mengenai Wetrom keluar dari Bersatu hangat diperkata selepas gambar dan videonya menghadiri program Warisan tular dalam media sosial.
Dalam gambar itu, Wetrom dilihat menunjukkan simbol ‘W’ yang mewakili simbol parti Warisan.
Sementara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana Wetrom belum bertemu dengannya lagi.
“Kita tunggu waktunya, bila sampai waktunya (kita maklumkan). Dia (Wetrom) pun belum jumpa dengan saya.
“Itu Facebook, pasal itu saya sebut jangan percaya dengan apa yang kita dengar dan lihat. Bila sampai waktu barulah kita yakin. Saya belum bertemu (Wetrom) lagi,” katanya. – UTUSAN










