JOHOR BAHRU: Polis berjaya memberkas tiga lelaki dalam tempoh kurang 24 jam selepas mereka mencuri sebuah kereta Proton Wira di sebuah pangsapuri di Jalan Bayu Puteri, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tiga sahabat berusia antara 28 hingga 41 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Kota Tinggi dan Pontian pada pukul 4 pagi, semalam.
“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima satu aduan daripada seorang wanita tempatan berumur 44 tahun menyatakan kenderaan Proton Wira miliknya telah hilang disyaki dicuri pada pukul 10.39 pagi, Khamis lalu.
“Kejadian itu dipercayai berlaku di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri di Jalan Bayu Puteri 2 pada kira-kira pukul 7 pagi, hari yang sama laporan dibuat.
“Bertindak atas maklumat, pada pukul 4 pagi hari Jumaat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Majidee telah membuat tiga serbuan di lokasi berbeza di sekitar Kota Tinggi dan Pontian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira yang disyaki dicuri berserta sebuah Proton Satria yang digunakan suspek bagi melakukan jenayah tersebut.
“Hasil semakan rekod mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










