2 kanak-kanak dipukul bapa tiri kerana tidak siap kerja sekolah - Utusan Malaysia

2 kanak-kanak dipukul bapa tiri kerana tidak siap kerja sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua beradik dipukul bapa tiri dengan menggunakan sebatang kayu penggaru selepas mereka dikatakan gagal dalam peperiksaan dan tidak menyiapkan kerja sekolah.

Perbuatan lelaki berusia 31 tahun itu terbongkar selepas guru sekolah anaknya itu melihat kesan lebam dan kecederaan pada kanak-kanak berusia tujuh dan 11 tahun berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi, guru penolong kanan hal ehwal murid telah melihat salah seorang mangsa dalam keadaan mata bengkak dan lebam.

Guru berkenaan kemudiannya bertanya kepada mangsa yang kemudian menceritakan dipukul bapa tiri kerana gagal dalam peperiksaan di kediaman mereka di Taman Mulia Jaya.

Malah mangsa turut memberitahu adik bongsunya turut dipukul di tangan kerana gagal dalam peperiksaan serta tidak menyiapkan kerja sekolah.

Mangsa kini berada di wad kanak- kanak Hospital Ampang bagi tujuan rawatan dan pemerhatian lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan mengenai perkara itu.

Kata beliau, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan suspek di sebuah sekolah di Ampang Jaya kerana disyaki memukul anak tirinya.

Menurutnya, sebelum itu, polis Ampang Jaya  menerima panggilan telefon berkaitan kejadian itu daripada seorang guru sekolah yang melaporkan bahawa mangsa iaitu murid sekolah terbabit disyaki dipukul oleh suspek.

“Kemudian anggota MPV bertindak menahan suspek dan bawa balik ke IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan terhadap rekod lampau suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan tidak dikehendaki,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga dapati bebas dari sebarang jenis dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN